Luak Johol adalah sebuah luak* adat di Negeri Sembilan. Luak ini terletak di bahagian tenggara Negeri Sembilan meliputi kawasan Gemencheh, Gemas, Air Kuning dan Inas. Sebelum kedatangan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan, luak ini didiami oleh orang Biduanda. Ketua mereka bergelar Batin dan pembantunya bernam Jenang. Ketua orang Biduanda yang mula – mula meneroka luak Johol ialah seorang perempuan yang dikenal dengan nama Nenek Kerbau. Tidak lama kemudian, seorang Orang Besar dari Minangkabau bernama Datuk Melengkar Alam dan isterinya bernama Tok Koyan telah datang ke Negeri Sembilan lalu menetap di tempat yang bernama Pasir Besar. Di situlah mereka beroleh seorang anak lelaki dinamakan Johol. Setelah Johol dewasa ia telah diberi gelaran oleh Sultan Johor gelaran ’Johan Pahlawan Lela Perkasa.’
Dari Pasir Besar, Johan Pahlawan Perkasa berpndah ke tempat yang bernama Air Keruh** lalu berkahwin dengan Nenek Kerbau, ketua orang Biduanda. Pasangan ini kemudiannya beroleh seorang anak perempuan yang dinamakan Puteri Kunun. Nenek Kerbau telah memerintah di luak Johol termasuk Seri Menanti, Jempul dan Hulu Muar dengan dibantu oleh suaminya Johan Pahlawan Lela Perkasa yang diberi delaran Datuk Johol. Datuk Johol ini telah menggalakkan orang dari Minangkabau tinggal di Johol.
Setelah Sultan Johor Sultan Mahmud Shah II mangkat* pada 1699, Datuk Johol telah menjemput Bendahara Sekudai bernama Liman datang ke Johol. Dalam perjalanan bendahara tersebut telah membuka dan menawan beberapa kawasan baru. Akhirnya pada tahun 1720 beliau telah sampai ke Ulu Tanggai yang terletak di Johol. Beliau kemudiannya telah dikahwinkan dengan Puteri Kunun iaitu anak Nenek Kerbau dan Datuk Johol. Puteri Kunun telah memeluk Islam dan memakai nama Siti Hawa. Oleh sebab, Siti Hawa merupakan pemerintah di abad 18 pada ketika itu, maka beliau telah diwajibkan memperlengkapkan diri dengan amalan kebatinan dengan menuntut menerusi pertapaan di pergunungan. Beliau memilih Gunung Rembau menjadi destinasi menuntut ilmu kebatinan tersebut, hingga diberi gelaran Siti Awan berdasarkan secara amali beliau sering menetap di pergunungan berbulan – bulan. Setelah Datuk Johol meninggal dunia, Siti Awan yang bergelar ` Dato’ Johan Lela Perkasa Sitiawan’ telah menggelarkan dirinya Datuk Undang pada tahun 1723 dan dialah Datuk Undang Johol yang pertama.
Setelah menjadi ketua pemerintah di luak Johol selama lebih kurang dua puluh empat tahun, pada tahun 1747 Datuk Puteri Siti Awan inipun meninggal dunia. Jenazahnya dikebumikan di tempat yang sekarang bernama Tanggai. Setelah itu, beliau telah digantikan oleh seorang perempuan bernama Datuk Rambut Panjang sebagai Undang Johol yang kedua. Beliau ini pula telah memerintah Johol selama tiga belas tahun dan meninggal dubia dalam tahun 1760. Tempat beliau telah digantikan pula oleh Datuk Siti Awan II juga seorang perempuan. Beliau telah memerintah Johol sehingga tahun 1790.
Setelah kematian beliau pada tahun 1790, Datuk Undang Johol yang keempat ialah seorang lelaki bernama Datuk Rambutan Jantan. Sejak itu, semua Datuk Undang Johol ialah lelaki. Berikut disenaraikan nama Datuk Undang Johol dari yang pertama hingga kajian ini dibuat :
Bil
| Penyandang Jawatan Undang
| Tempoh
|
1. | Datuk Sitiawan I (perempuan) | 1723 - 1747 |
2. | Datuk Rambut Panjang (perempuan) | 1747 - 1760 |
3. | Datuk Sitiawan II (perempuan) | 1760 - 1790 |
4. | Datuk Rambutan Jantan (lelaki) | 1790 - 1810 |
5. | Datuk Nuri | 1810 - 1820 |
6. | Datuk Abu Bakar ( Gobah) | 1820 - 1840 |
7. | Datuk Saeto ( Datuk Eto) | 1840 - 1901 |
8. | Datuk Wan Omar B. Wan Hassan | 1901 - 1918 |
9. | Datuk Kamat B. Hj. Sulaiman | 1919 - 1947 |
10. | Datuk Haji Abdul Manap B. Tolok | 1947 - 1973 |
11. | Datuk Haji Abdul Majid B. Wahid | 1973 - 1985 |
12. | Datuk Haji Abdul Rahman B. Mohd. Som | 1985 - 1988 |
13. | Datuk Haji Abdul B. Ali | 1988 - 2007 |
14. | Datuk Haji Mohd. Jan B. Abdul Ghani | 2007 – hingga kajian ini dibuat 2010 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan