Isnin, Oktober 26, 2009

PERTABALAN TUANKU MUHRIZ IBNI AL MARHUM TUANKU MUNAWIR

Alhamdullilah...hari ini aku dan rakyat jelata yang menghuni Negeri Sembilan ini untuk mencari rezeki hidup mendapat cuti umum sempena Istiadat Pertabalan DYMM YDP Besar Negeri Sembilan , Darul Khusus.
Walaupun aku hanya perantau di negeri yang kaya dengan adat-istiadat dan lomang eh yang sodap...namun aku bangga dan turut bersyukur dengan berlangsungnya Istiadat Pertabalan Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir ini.



Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Di atas pertabalan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11

Bersama ini juga aku titipkan bersama gambar-gambar DYMM YDP Besar Negeri Sembilan yang terdahulu yang telah memerintah Negeri Sembilan suatu ketika dulu.


Pemerintah-pemerintah Negeri Sembilan (gambar di atas)


Aku juga ingin berkongsi informasi tentang 'Istiadat bersiram lakar sejarah' yang kupetik daripada salah satu artikel yang kubaca.



SERI MENANTI – Istiadat bersiram Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berlangsung dengan penuh tradisi di Istana Besar Seri Menanti, dekat sini, semalam.

Istiadat terpenting keseluruhan proses pertabalan Yang di-Pertuan Besar itu diadakan selepas istiadat menurunkan dan memasang alat kebesaran diraja di halaman Istana Besar Seri Menanti, Khamis lalu.

Kira-kira 5,000 orang termasuk rakyat jelata turut tidak melepaskan peluang menyaksikan istiadat penuh bersejarah itu, semalam.

Istiadat bersiram bermula 10.35 pagi apabila Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani bersemayam di atas Takhta Rencana dan diarak sejauh kira-kira 500 meter dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada, sambil disusuli lapan das tembakan meriam.

Perarakan Takhta Rencana yang ditarik Pegawai 99 itu didahului kumpulan Rebana, diikuti pembawa alat kebesaran diraja, pembawa Cepu Bedak Limau.

Turut mengiringi adalah dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz, serta kerabat diraja.

Sebaik saja baginda berdua bersemayam di Panca Persada, Orang Empat Istana menyempurnakan istiadat bersiram dengan menyembahkan bedak limau selepas mengelilingi baginda berdua sebanyak tujuh kali.

Selesai pusingan terakhir, Datuk Seri Amar Diraja, Ahmad Minal menyembahkan Cepu Bedak Limau untuk istiadat bersiram dan Tuanku Muhriz kemudian mencelup kedua belah tangan baginda ke dalam Cepu Bedak Limau itu.

Datuk Seri Amar Diraja kemudian meletakkan semula Cepu Bedak Limau dan menjunjung duli kepada Tuanku Aishah Rohani.

Majlis diteruskan dengan persembahan kebudayaan iaitu pencak silat, tarian piring dan muzik tradisional cak lempong lagu ‘Raja Bersiram’.

Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad sebelum baginda berdua bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti disusuli lapan das tembakan meriam lagi.

Istiadat bersiram selesai kira-kira 12 tengah hari diakhiri majlis santapan tengah hari di Dewan Banquet, Istana Besar Seri Menanti.

Rakyat jelata turut menikmati hidangan tengah hari di dua tempat berasingan iaitu di kawasan lapang berhampiran Istana Tasek dan padang Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana Nasir, di sini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin; anggota Exco Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat rakyat serta ketua-ketua jabatan.

Hari ini, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 akan berlangsung dengan penuh istiadat di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti, disempurnakan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak selaku imam Undang Yang Empat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails